fb fb fb fb fb

25 guru luar biasa terima Anugerah Guru Inspirasi

(McDonald’s Malaysia hari ini mengumumkan 25 penerima AGI McDonald’s2023 yang telah
disempurnakan oleh YB Puan Fadhlina Binti Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia/McDonald)

MELAKA, 15 Mei- Seramai 25 calon dimumkan penerima Anugerah Guru Inspirasi (AGI) McDonald’s 2023. Mereka dipilih oleh panel juri yang terdiri daripada wakil McDonald’s, pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak media.

Majlis pengumuman pemenang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Hadiah utama ialah wang tunai RM5,000, trofi dan sijil. Tempoh pencalonan telah mula dibuka pada 20 Mac dan berakhir pada 15 April.

AGI merupakan inisiatif dan komitmen McDonald’s Malaysia dalam mengiktiraf dan menyanjung warga pendidik KPM yang telah banyak menyumbang dan menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi madani.

Hasil kerjasama erat KPM dengan McDonald’s Malaysia, AGI McDonald’s 2023 telah berjaya mencungkil kisah guru luar biasa di serata Malaysia. Ini terbukti apabila lebih 16,000 pencalonan diterima, melebihi tiga kali ganda daripada jumlah pencalonan yang diterima tahun lepas.

“McDonald’s amat menghargai kerjasama strategik dan erat yang telah diberikan oleh pihak KPM. Kejayaan kerjasama ini telah meningkatkan jumlah pencalonan yang berlipat kali ganda pada tahun ini. Kisah-kisah luar biasa yang diterima menunjukkan anugerah ini mendapat perhatian dan tarikan ramai serta merupakan platform masyarakat berkongsi kisah luar biasa guru kebanggaan yang telah memberi impak dalam kehidupan mereka,” kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar di majlis pengumuman pemenang di sini..

Bagi menghargai jasa dan menyokong usaha KPM memberi fokus kepada kebajikan warga pendidik, McDonald’s Malaysia turut menyumbang peruntukan sebanyak RM5,000 untuk menaik taraf bilik guru di sekolah-sekolah penerima AGI McDonald’s bertugas, sebagai tanda sokongan lebih menyeluruh buat guru-guru luar biasa ini dan rakan sekerja di sekolah tersebut.

“Sumbangan peruntukan menaik taraf bilik-bilik guru ini merupakan antara usaha McDonald’s Malaysia menghargai jasa warga pendidik. Bukan sahaja penerima AGI McDonald’s tetapi juga semua rakan guru di sekolah beliau kerana mereka juga sedikit sebanyak ada memainkan peranan. Hadiah ini juga sebagai tanda sokongan McDonald’s kepada inisiatif KPM menjaga kebajikan dan memastikan kesejahteraan guru-guru,” tambah Datuk Azmir.

(AGI McDonald’s merupakan usaha tahunan McDonald’s Malaysia bagi menghargai warga
pendidik KPM yang telah memaparkan komitmen luar biasa/McDonald)

McDonald’s juga tidak melupakan anak-anak murid yang telah mencalonkan guru mereka. Atas persetujuan dan kelulusan KPM, selain daripada menerima trofi, sijil dan baucar bernilai RM500, mereka juga akan dihadiahkan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) bagi inisiatif menghantar kisah-kisah menarik tentang guru-guru kebanggaan mereka. Markah ini dapat membantu melonjakkan pencapaian murid-murid dalam bidang kokurikulum, satu elemen penting dalam usaha ke arah kemenjadian murid.

Sejak pertama kali dianjurkan pada tahun 2017, AGI McDonald’s telah diberi kepada 156 guru yang menjalankan tanggungjawab melebihi tugas hakiki dalam mendidik, memotivasi dan memberi impak kepada generasi muda negara.

Bagi merancakkan lagi sambutan Hari Guru dan menghargai para guru, McDonald’s Malaysia meraikan guru-guru Malaysia di semua 340 restoran McDonald’s seluruh negara sepanjang bulan Mei ini.

Media Baharu