KUALA LUMPUR, 26 November - 24,907 penduduk terjejas ditempatkan di 142 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan negeri; setakat 6.00 pagi tadi.
Menurut laporan yang dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah penduduk terjejas itu melibatkan 8,308 keluarga dan tiada kematian direkodkan.
Negeri Kelantan merekodkan jumlah penduduk terjejas tertinggi dengan jumlah 9,525 orang, manakala Perlis mencatatkan jumlah penduduk terjejas sebanyak 5,968 mangsa.
Negeri Perak merekodkan 4,184 penduduk terjejas, sementara Selangor dan Kedah masing-masing mencatatkan jumlah penduduk terjejas sebnayak 2,964 dan 2,043 penduduk terjejas.
Terengganu mencatatkan jumlah 131 penduduk terjejas, manakala Pulau Pinang dan Pahang masing-masing melaporkan jumlah penduduk terjejas sebanyak 50 dan 42 orang.
Beberapa negeri antaranya Kelantan, Perlis dan Perak terus mencatatkan peningkatan jumlah penduduk terjejas setakat 6.00 pagi tadi.
Laporan tersebut turut memaklumkan status peringkat amaran cuaca (bahaya) iaitu hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di negeri Perlis; Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang dan Sik); Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh); dan Terengganu
(Besut) sehingga Rabu, 26 November 2025.
Manakala, amaran cuaca buruk dijangka berlaku di negeri Kedah (Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu); Pulau Pinang; Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak,Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak); Kelantan (Jeli,Kuala Krai dan Gua Musang); dan Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman) sehingga Rabu, 26 November 2025.
Selain itu, hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang); dan Terengganu sehingga Rabu, 26 November 2025.
Serta, hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Perak (Hulu Perak dan Manjung); Kelantan (Gua Musang); dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut dan Kuantan) sehingga Rabu, 26 November 2025.