KANGAR, 26 November -Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Kangar ditutup sementara mulai hari ini sehingga diberitahu kelak susulan peningkatan paras air akibat banjir di kawasan tersebut.
KWSP menerusi satu kenyataan memaklumkan, langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan ahli serta petugasnya.
Ahli yang mempunyai temu janji dinasihatkan menjadualkan semula urusan mereka, manakala transaksi penting boleh dilakukan secara dalam talian melalui i-Akaun bagi perkhidmatan tertentu.
“KWSP sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan penyedia perkhidmatan untuk memantau keadaan, dan sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan transaksi KWSP, ahli boleh menghubungi Pusat Perhubungan dan Nasihat Perkhidmatan KWSP di talian 03-89226000 atau melayari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.