fb fb fb fb fb

Calon SPM dinasihatkan kekal fokus, jaga kesihatan

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) penduduk terjejas banjir di Dewan Ilmu, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra

PAUH PUTRA, 26 November - Semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dinasihatkan agar kekal fokus, berdisiplin, menjaga kesihatan dan memastikan rehat mencukupi sepanjang tempoh peperiksaan, demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda juga menzahirkan ucapan selamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 kepada seluruh pelajar Tingkatan 5 di negeri itu.

"Setiap calon dipermudahkan segala urusan oleh Allah SWT, dikurniakan ketenangan jiwa, kefahaman yang jelas serta ketajaman minda ketika menjawab soalan, khususnya bagi mereka yang terkesan dengan bencana banjir di beberapa kawasan negeri Perlis ini.

"Setiap pelajar hendaklah terus kekal fokus dan berdisiplin, serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa dan dalam tempoh peperiksaan ini, jagalah kesihatan diri dan pastikan rehat yang mencukupi," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) penduduk terjejas banjir di Dewan Ilmu, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra di sini.

PPS berkenaan menempatkan seramai 283 orang penduduk terjejas banjir.

Baginda dipersembahkan taklimat status terkini mengenai pusat-pusat pemindahan di daerah Arau oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Arau, DSP Mohd Fauzi Mohamad.

Sementara itu, sebanyak 29 sekolah di Perlis melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepenuhnya pada hari ini berikutan situasi banjir yang menjejaskan kehadiran warga sekolah.

Langkah itu melibatkan 17 sekolah rendah serta selebihnya sekolah menengah, bagi memastikan sesi pembelajaran pelajar dan murid tidak terganggu.

Bagi SPM 2025 di Perlis, seramai 3,754 calon menduduki peperiksaan tersebut di 36 pusat peperiksaan yang telah ditetapkan.

Setakat laporan ini, 393 calon dikenal pasti terjejas akibat banjir dan lima pusat peperiksaan turut dilaporkan terkesan banjir, melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein, Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-MAAD, SMK Datuk Sheikh Ahmad, SMK Agama Arau, dan SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI