fb fb fb fb fb

232,000 pekebun kecil getah berdaftar RISDA bakal terima BMT tahun ini

(Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bercakap pada sidang media 
selepas Majlis Pekebun Kecil RISDA Makmur Peringkat Negeri Pahang di Kuala Lipis) 

LIPIS, 25 Oktober - Sejumlah 232,000 pekebun kecil getah berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bakal menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) tahun ini.

Bayaran kepada pekebun kecil sebanyak RM300 sebulan melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM191 juta itu akan diagihkan pada bulan November dan Disember ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan juga telah bersetuju untuk menaikkan kadar pembayaran BMT daripada RM600 pada tahun ini kepada RM800 bagi tahun 2023.

“Ia macam ini, bulan 10,11,12 bergantung kepada bila wang tu dimasukkan kepada RISDA, kalau wang tu dimasukkan awal kita boleh bayar awal lah, kalau lewat, bayar lewat...itu bergantung kepada wang dimasukkan ke RISDA, sekarang dah siap jumlah penerima tu dah ada cuma kita tunggu peruntukan dan masuk kita bayar, Insya-Allah," kata beliau selepas Majlis Pekebun Kecil RISDA Makmur Peringkat Negeri Pahang di Dewan Terbuka Kampung Mela di Kuala Lipis, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.


(Foto fail)

Sementara itu, Mahdzir berkata Program Tanam Semula Getah setakat ini telah mencapai lebih 10,000 hektar melibatkan 7,180 pekebun kecil dengan bayaran berjumlah hampir RM61.6 juta.

Tahun ini katanya, RISDA menerima permohonan untuk tanam semula semula getah seluas 18,524 hektar daripada 12,381 pekebun kecil.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan dividen Program Tanam Semula Komersil (TSK) RISDA peringkat negeri Pahang, berjumlah lebih RM39 juta.

Dividen tersebut adalah hasil pulangan oleh RISDA Plantation Sendirian Berhad kepada 5,590 orang peserta projek TSK seluruh negeri Pahang.

Media Baharu