KUALA LUMPUR, 1 Julai - 222 kes baharu jangkitan HIV dalam kalangan pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) direkodkan tahun lalu melibatkan golongan muda seawal usia 18 dan 19 tahun.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan sebanyak 3,185 kes.
Jelasnya, intervensi lebih agresif perlu dilaksanakan termasuk mempertimbangkan strategi pengurangan kemudaratan yang disesuaikan untuk golongan belia.
Ia termasuklah penggunaan Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) iaitu merupakan alat pencegahan HIV yang mampu mengurangkan risiko jangkitan jika diambil secara konsisten.
"Pelaksanaan PrEP ini menunjukkan satu kejayaan, walaupun demikian apa yang menjadi satu permasalahan ketika ini adalah akses kepada pengujian ataupun ujian kendiri bagi remaja-remaja di bawah umur.
"Ketika ini kita tidak mempunyai perundangan khusus dan kita memerlukan kebenaran ibubapa untuk menjalankan ujian kendiri untuk mendapatkan rawatan.
"Perkara ini agak menyukarkan remaja-remaja yang ingin tampil ke hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media Persidangan Meja Bulat Media bagi Pengurangan Kemudaratan dari perspektif Kesihatan Awam, Ekonomi dan Agama Islam, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, kaedah ujian kendiri HIV turut diperkenalkan bagi pilihan kepada individu yang enggan tampil ke fasiliti kesihatan.
Mereka boleh mendapatkan kit ujian kendiri HIV melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Majlis Aids Malaysia atau farmasi komuniti.