JOHOR BAHRU, 1 Julai - Sejumlah 49 saman dikeluarkan ke atas kenderaan bernombor pendaftaran asing di Johor Bahru kerana tiada Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), selepas penguatkuasaannya tengah malam tadi.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedly Fadly Ramli berkata, 38 saman dikeluarkan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), manakala 11 lagi di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
"28 notis amaran dikeluarkan di kedua-dua pintu masuk negara itu, hasil pemeriksaan ke atas 249 kenderaan.
Tindakan diambil mengikut Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (akta 333)," katanya selepas menyertai Operasi Khas Penguatkuasaan VEP JPJ di sini.
Sepanjang operasi dilaksanakan, unit mobil JPJ turut disediakan di lokasi, bagi membolehkan pengembara menyelesaikan saman serta-merta.
Setakat 29 Jun lalu, 284,504 tag RFID bagi pengunaan VEP didaftarkan dan diaktifkan dengan 3,765 daripadanya adalah kenderaan persendirian syarikat.