KUALA LUMPUR , 1 Julai- Pemandu, penumpang bas ekspres dan persiaran mula mematuhi penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar yang berkuat kuasa hari ini (1 Julai).
Tinjauan RTM mendapati pemandu bas mengambil tanggungjawab dengan mengingatkan para penumpang supaya memakai tali pinggang keledar sebelum bas bergerak menuju ke destinasi.
Perkara itu dilakukan pemandu bas ekspres Norizan Khamis, dia terus mengingatkan penumpang sebaik menaiki bas yang dipandunya supaya memakai tali pinggang keselamatan sebelum memulakan perjalanan.
"Penumpang perlu ikut arahan yang diberikan. Ia bagi memasrikan keselamatan penumpang semasa perjalanan sebelum menuju ke destinasi dituju,
"Sekiranya penumpang atau pemandau ingkar kepada arahan tersebut, tindakan saman boleh dikenakan," katanya.
Dalam pada itu seorang pelancong dari Hong Kong, Sugar, dia berpendapat, pemakaian tali pinggang keledar merupakan penyelamat sebelum berlakunya kejadian tidak diingini.
"Sebenarnya saya baru dapat tahu berkenaan maklumat ini. Saya fikir ia merupakan satu polisi yang sangat bagus, dengan pemakaian tali pinggang keledar ia sebagai penyelamat kepada penumpang.
"Pemandu bas juga perlu prihatin dengan mengungatkan para penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum memulakan perjalanan. Saya bersetuju dengan dasar ini," katanya.
Bagi Siti Hawa Hassan, penguatkuasaan itu dilihat akan mengurangkan risiko ke atas pengguna dan pemandu.
"Memang kita kena pakai selaras dengan penguatkuasaan seperti yang dimaklumkan. Pemandu juga perlu mengingatkan penumpang untuk memakai tali pinggang keledar.
"Sekarang ini pelaksanaannya masih baru, jadi memang perlu diingatkan supaya tiada penumpang yang ingkar dengan pelaksanaan itu," katanya.
Penguatkuasaan itu terpakai ke atas bas yang didaftarkan pada tahun 2020 manakala bas sebelum itu akan diberi tempoh tertentu untuk melakukan pemasangan tali pinggang keledar.
Kegagalan pemakaian tali pinggang keledar akan dikenakan saman RM300.