fb fb fb fb fb

220 titik panas dikesan, Sarawak pertimbang laksana pembenihan awan

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUCHING, 31 Julai – Sebanyak 220 titik panas dikesan di seluruh Sarawak hari ini, sekali gus mendorong Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengaktifkan pasukan pengurusan bencana di peringkat bahagian.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi JPBN Negeri, Datuk Douglas Uggah Embas berkata, semua bahagian telah diarahkan bersiap siaga menghadapi cuaca panas dan kering yang berlarutan ketika ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan kaedah pembenihan awan dilaksanakan sekiranya keadaan berterusan.

“Kita akan menilai semua pilihan tindakan yang boleh diambil untuk mengurangkan kesan, namun pembenihan awan bukan mudah. Kita perlukan awan yang mengandungi kelembapan. Jika tiada, garam yang ditabur tidak akan menghasilkan hujan, sebaliknya hanya jatuh sebagai garam,” katanya.

Dalam perkembangan sama, semua pemilik ladang dilarang melakukan pembakaran terbuka, manakala permit pembakaran telah ditarik balik sejak minggu lalu.

Cuaca kering juga menjejaskan bekalan air di beberapa kawasan dengan 675 permohonan bekalan air diterima setakat ini, melibatkan lebih 15,000 keluarga di Bahagian Miri sahaja.

Sementara itu di Mukah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menggerakkan pesawat udara untuk memadam kebakaran belukar berhampiran Lapangan Terbang Mukah yang melibatkan kawasan kira-kira 105 hektar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mukah, Nicholas Belulin berkata, helikopter jenis MI-171 diterbangkan dari Pangkalan Udara JBPM di Miri.

Operasi pemadaman yang bermula pada pukul 3.30 petang semalam menggunakan teknik pengeboman air, dengan 6,360 liter air dilepaskan ke kawasan kebakaran, berjaya memperlahankan pergerakan api dan mengelakkan ia merebak ke kawasan berhampiran.

Namun, operasi terpaksa dihentikan selepas 42 minit berikutan masalah teknikal pada sistem pesawat.

Kebakaran belukar di Mukah yang dikesan sejak 24 Julai lalu kini sedang dikawal menerusi operasi berperingkat.

3107 SWK UNGGAH TITIK PANAS 2Kebakaran hutan di Mukah / BOMBA SARAWAK

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE