KUCHING, 31 Julai – Penubuhan Majlis Pendidikan Negara diharap dapat meningkatkan kualiti sektor pendidikan dengan menyelaras visi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Pensyarah Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Madya Dr. Zaimuarifuddin Syukri Nordin berkata, majlis itu berperanan sebagai platform intervensi bagi menyatukan ekosistem pendidikan yang kini bergerak secara silo.
“Sedangkan ada kesinambungan daripada peringkat Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi, dan kalau kita lihat pendidikan adalah 'lifelong learning',” katanya.
Beliau turut berharap majlis berkenaan dapat menyelaras peranan institusi perguruan, khususnya yang terlibat dalam melatih guru di peringkat rendah dan menengah.
Dr. Zaimuarifuddin juga yakin Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mampu meletakkan sektor pendidikan negara di peta dunia, khususnya melalui usaha memperkukuh pengantarabangsaan institusi pendidikan tinggi awam.
Pensyarah Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Madya Dr. Zaimuarifuddin Syukri Nordin
Sementara itu, cadangan memperluas penawaran Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar tahfiz di bawah RMK13 disambut baik kerana diyakini mampu meningkatkan jumlah pelajar menceburi bidang tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Datuk Syeed Mohd Hussien Wan Abd Rahman menyifatkan cadangan itu sebagai langkah bijak yang memberi manfaat dunia dan akhirat kepada pelajar tahfiz.
“Di Sarawak, kita menyokong usaha ini kerana kita banyak bekerjasama dengan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak. Graduan tahfiz mereka boleh menyambung ke CENTEXS untuk mendapatkan kemahiran kedua,” katanya.
Beliau turut menyambut baik usaha meningkatkan tahap pensijilan TVET ke taraf setara dengan universiti, bagi memastikan graduan memiliki kelayakan yang kompetitif di pasaran kerja.