KUALA LUMPUR, 31 Julai - Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) disifatkan sebagai satu pelan pembangunan negara yang inklusif dan transformatif, selaras dengan pendekatan menyeluruh yang digariskan oleh kerajaan.
Pensyarah Fakulti Perakaunan, Perniagaan dan Ekonomi, Kolej Universiti i-CATS, Prof. Dr. Abu Sofian Yaacob berpendapat RMK13 memberi tumpuan utama terhadap kesejahteraan rakyat serta peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai.
Menurut beliau, pendekatan berpaksikan rakyat dalam RMK13 menekankan usaha mengurangkan jurang sosioekonomi merentasi kumpulan B40, M40 dan T20 melalui pembangunan wilayah yang lebih seimbang, akses kepada pendidikan berkualiti, penjagaan kesihatan holistik, peluang pekerjaan serta jaminan keselamatan sosial yang menyeluruh.
Beliau turut menegaskan peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai merupakan langkah kritikal dalam memperkukuh daya saing negara dan melonjakkan Malaysia keluar daripada perangkap pendapatan sederhana.
"Malaysia telah terlalu lama berada dalam kategori negara berpendapatan sederhana tinggi. Untuk mencapai status negara maju, pertumbuhan ekonomi perlu dipacu melalui aktiviti bernilai tinggi seperti inovasi, teknologi dan ekonomi digital, bukan lagi bergantung kepada kos buruh yang rendah," katanya ketika dihubungi RTM di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membentangkan RMK13 berteraskan tiga asas utama, iaitu pembentukan negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah; sistem sosial berteraskan insan MADANI; serta peralihan kepada ekonomi berasaskan kecerdasan buatan.
Abu Sofian berkata, pendekatan itu diyakini mampu menggalakkan pelaburan berkualiti tinggi melalui penekanan terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D), automasi, serta pembangunan kepakaran dan industri berteknologi tinggi.
"Ekonomi berasaskan penciptaan nilai turut dilihat mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan menawarkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, memperkukuh pembangunan modal insan, serta menyokong ekosistem inovasi nasional sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan dan adil," katanya lagi.
Menurutnya, secara keseluruhan, RMK13 bukan sahaja dilihat sebagai kesinambungan dasar, tetapi juga sebagai sebuah pelan tindakan strategik yang berpandangan jauh.
"Peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai turut ditekankan sebagai keutamaan nasional bagi memastikan daya tahan ekonomi, kelestarian fiskal dan kemakmuran menyeluruh kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.