(Foto hiasan/ BERNAMA)
BATU PAHAT, 11 Julai- Kira-kira 200 pasangan raja sehari yang pertama kali berkahwin di Johor sudah menerima insentif RM1,000 Bantuan Kasih Bangsa Johor setakat ini.
Bagaimanapun, jumlah itu masih jauh berbanding sasaran 10,000 pasangan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pasangan yang menepati kriteria iaitu berusia 40 tahun ke bawah, perkahwinan kali pertama dan pendapatan bersama bawah RM5,000 digalakkan memohon.
Ini sekali gus dapat memanfaatkan sepenuhnya peruntukan yang diberikan kerajaan negeri.
"Permohonan yang diterima memang menggalakkan, namun terdapat sedikit kekangan misalnya ada yang berpendapatan lebih RM5,000,
"Malah ada yang sudah melebih umur seperti ditetapkan, sebab kita ingin bantu golongan muda Johor yang pendapatan rendah," katanya semasa Program Qurban Perdana, Penyampaian Bantuan Kasih Bangsa Johor dan Penyampaian Cenderahati Pelajar Cemerlang SPM DUN Semerah di Batu Pahat, Johor.
(Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid)
Tambahnya, bukan anak jati Johor juga layak membuat permohonan dengan syarat salah seorang pasangan sudah menetap di Johor lebih tiga tahun.
RM6 juta diperuntukkan kepada pasangan beragama Islam, manakala empat juta ringgit pasangan bukan beragama Islam.
Borang permohonan boleh didapati secara dalam talian atau di Pejabat Kadi dan Pejabat Perpaduan Daerah.