fb fb fb fb fb

2 beranak maut, 6 cedera kemalangan di Marang

MARANG, 20 April- Dua beranak maut manakala enam sekeluarga mengalami kecederaan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 28 Jalan Kuala Terengganu–Kuantan dekat Pulau Kerengga, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, mangsa yang maut ialah Subhi Sayuti Abd. Ghani, 43 tahun yang bekerja sebagai pemandu Grab dan anak perempuannya, Syuhada Hafiy, tujuh tahun.

Sementara itu, enam mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan itu pula mengalami kecederaan iaitu pasangan suami isteri, Nazarullah Sekawi, 37, dan Nurul Ermanazita Hashin, 34, bersama empat anak mereka yang berusia antara lima hingga 14 tahun.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu kenderaan pelbagai guna MPV Perodua Alza dinaiki dua beranak yang maut, kenderaan utiliti sukan Rexton Syanyong dan sebuah Perodua Kenari. 

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Alza dipandu Subhi Sayuti dari Kuala Lumpur untuk balik ke rumah ayahnya di Taman Hidayah telah memasuki laluan bertentangan.

Akibat daripada itu, kenderaan tersebut terlanggar Rexton Syanyong dinaiki enam sekeluarga dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan sebelum berpusing dan melanggar bahagian sisi hadapan sebelah kiri Perodua Kenari. 

(Foto hiasan)

Pemandu Perodua Alza maut di tempat kejadian setelah cedera parah di bahagian kepala manakala anaknya meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Enam sekeluarga yang cedera itu beralamat di Kampung Tok Lam Dalam, Kuala Terengganu turut dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan setelah mengalami kecederaan di muka serta anggota badan. 

Pemandu Perodua Kenari berusia 28 tahun pula tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media Baharu