KUALA LUMPUR, 23 Januari- Kerjasama antara SPRM bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berjaya memulihkan wang sebanyak AS$20 juta (lebih RM90 juta) berhubung dana 1MDB yang berkaitan projek tenaga solar di Malaysia.
Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), wang itu melibatkan Frank White Jr., seorang ahli perniagaan dan rakan kongsi firma pelaburan DuSable Capital Management LLC (DuSable).
"White Jr. secara sukarela bersetuju untuk menyerahkan wang tersebut kepada DOJ selepas mendapati bahawa dana yang diterima oleh DuSable berasal daripada sumber yang dikaitkan dengan dana 1MDB yang disalahgunakan, meskipun beliau tidak menyedari sumber dana itu pada waktu penerimaan.
"SPRM dan kerajaan Malaysia komited untuk meneruskan usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB," menurut kenyataan itu.
Sehingga kini, sebanyak RM29.73 bilion telah berjaya dipulangkan kepada kantung kewangan kerajaan Malaysia.
Ini tidak termasuk AS$20 juta yang dipulihkan hasil usaha SPRM dan FBI baru-baru ini.
SPRM juga sedang giat mendapatkan semula aset yang telah diselewengkan dari negara Kuwait, Hong Kong, United Kingdom dan beberapa buah negara di Eropah.
Usaha itu akan terus diperhebatkan melalui kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa untuk memastikan aset-aset yang disalahgunakan dapat dipulihkan demi kepentingan rakyat dan negara.