LANGKAWI, 10 Februari- Kerancakan kemasukan pelancong sempena cuti Tahun Baru Cina di Langkawi bertambah dengan pertambahan penerbangan terus dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Syarikat Flydubai menggunakan pesawat Boeing 737 MAX dengan kapasiti maksimum 180 penumpang bagi laluan ke Malaysia dan penerbangan ini dijadualkan tiba setiap hari.
Ketua Pengawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Haslina Abd Hamid berkata, 185 penerbangan tambahan berjadual setiap minggu dijangka tiba ke pulau itu.
"Pembukaan laluan ini akan memberi manfaat ekonomi kepada penduduk Langkawi dengan kedatangan para pelancong daripada Asia Barat, Eropah, Afrika dan lain-lain," katanya kepada pemberita selepas menyambut penerbangan sulung FlyDubai ke Langkawi di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
Dalam pada itu, LADA menawarkan Program Insentif Penerbangan Sewa Khas.
Antara insentif baru yang ditawarkan pada tahun 2024 termasuk Insentif Penerbangan Sulung iaitu syarikat penerbangan baharu yang memulakan laluan baru ke Langkawi dan mengekalkan penerbangan berjadual tersebut bagi tempoh sekurang-kurangnya satu tahun layak mendapat insentif penerbangan ini.
"Dengan adanya insentif sebegini sekali gus akan mampu menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan untuk memulakan penerbangan berjadual ke Langkawi seterusnya meningkatkan kemudahsampaian ke pulau pelancongan ini," katanya.
Untuk rekod, bagi tahun 2024 LADA menyasarkan seramai tiga juta pelancong berkunjung ke pulau ini.