fb fb fb fb fb

182 permohonan ikut pasangan diterima KKM tahun ini

KUALA LUMPUR, 19 September- Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa menjaga kebajikan kakitangannya termasuk isu tinggal berjauhan dengan pasangan.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, urusan pertukaran pegawai perubatan di KKM diadakan empat kali atau lebih dalam tempoh setahun.

Bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 182 permohonan mengikut pasangan telah diterima daripada pegawai perubatan dan sejumlah 102 permohonan atau 56 peratus diluluskan.

"(Sementara itu), pada tahun 2022, KKM telah menerima 1,014 permohonan pertukaran Pegawai Perubatan yang bertugas berjauhan daripada pasangan masing-masing.

"Daripada jumlah permohonan tersebut, sejumlah 623 (61%) permohonan pertukaran telah diluluskan oleh KKM," katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) di Dewan Rakyat di sini.

Zaliha berkata, kerajaan juga sedang menyemak semula gaji, insentif, elaun dan kemudahan anggota perkhidmatan awam termasuk pegawai di sektor kesihatan awam.

"Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) pada 7 Ogos lalu telah membincangkan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebagai inisiatif pembaharuan dalam perkhidmatan awam termasuk saraan petugas kesihatan," katanya.

(Zaliha Mustafa)

Media Baharu