fb fb fb fb fb

Cadangan RUU Perkhidmatan Parlimen terima reaksi positif

(Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar)

KUALA LUMPUR, 19 September- Dasar dan kerangka cadangan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2023 yang kini dalam peringkat penggubalan mendapat reaksi positif daripada Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Perkara itu dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menerusi kenyataan media selepas satu taklimat mengenainya diadakan semalam.

Beliau memaklumkan ahli kedua-dua Dewan berkenaan menyambut baik langkah pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 untuk merealisasikan konsep pengasingan kuasa dalam negara.

Dr Wan Junaidi berharap agar rang undang-undang berkenaan dapat dibentang pada sidang Dewan Rakyat, Oktober ini.


(FOTO HIASAN/ BERNAMA)

Sesi taklimat pada malam tadi memberi peluang kepada Ahli-Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat untuk mendapatkan maklumat awal supaya memberi kerjasama mereka dalam urusan pembentangan, laluan dan perbahasan rang undang-undang ini nanti di dalam Dewan masing-masing.

Pada 29 Ogos lepas, Dr Wan Junaidi memaklumkan pelaksanaan pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 kini berada di peringkat kedua bagi proses merangka kertas kerja Kabinet bagi mendapatkan persetujuan untuk Majlis Bersama Dewan Negara dan Dewan Rakyat oleh Pejabat Peguam Negara untuk diedarkan kepada semua kementerian dan agensi yang berkaitan sebelum dibentang kepada Jemaah Menteri.

Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 diperkenalkan bagi membuka jalan kepada Dewan Rakyat untuk bertindak sebagai badan bebas, menjalankan hal ehwalnya sendiri, memilih kakitangannya dan mengawal perbelanjaannya, namun ia dimansuhkan pada 1992.

Media Baharu