(Zaliha Mustafa)
KUALA LUMPUR, 19 September- Skim Perubatan Madani (SPM) diperluas ke seluruh negara bermula 15 September lalu berikutan sambutan menggalakkan daripada klinik swasta yang mendaftar dan bekerjasama dalam program berkenaan.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, setakat ini sekurang-kurangnya 1,300 klinik swasta terlibat sejak program itu mula dilaksanakan pada 15 Jun lalu.
"Sejak Skim ini diperkenal, lebih daripada 130,000 rawatan kesihatan pesakit luar bagi kes-kes akut telah diberikan melalui klinik-klinik swasta, dan 80,000 isi rumah telah mendapat manfaat skim ini. Bilangan rawatan yang diberikan hampir mencecah 4,000 sehari dan semakin meningkat.
"Ia diperkenal sebagai inisiatif bagi mengatasi isu kesesakan pesakit di fasiliti kesihatan Kerajaan. Selain itu, SPM bertujuan membantu rakyat, khususnya kumpulan B40, bagi mendapatkan rawatan pesakit luar bagi kes-kes akut di klinik perubatan swasta (GP) secara percuma," katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) di Dewan Rakyat di sini.
Zaliha turut menggalakkan penglibatan lebih banyak klinik swasta di seluruh negara untuk mendaftar sebagai panel dalam memberikan perkhidmatan.
Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) komited dalam menggiatkan lagi usaha untuk menggalakkan pendermaan organ menerusi media sosial.
"(Selain itu), perkongsian informasi terkini menerusi laman web rasmi iaitu Derma Organ, program kesedaran secara berterusan melalui media utama, kempen, (serta) penganjuran Minggu Kesedaran Pendermaan Organ (MKPO) secara tahunan," katanya.
Pada masa sama, KKM juga memanfaatkan penggunaan aplikasi MySejahtera bagi memperluas capaian dan memudahkan pendaftaran pengikrar penderma organ, selain melaksanakan latihan serta bimbingan berstruktur kepada pelbagai agensi luar untuk menjadi advocator pendermaan organ.
Tambah Zaliha, kementerian turut memberi jaminan mengenai keselamatan data pesakit yang direkodkan menerusi pendigitalan rekod perubatan elektronik (EMR), selaras Dasar Keselamatan ICT (2019) dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
"Keizinan mengakses data pesakit dihadkan kepada pihak yang berkelayakan sahaja berdasarkan Garis Panduan Pengendalian dan Pengurusan Rekod Perubatan Pesakit di Fasiliti KKM," katanya lagi.
(FOTO HIASAN)