fb fb fb fb fb

180 nelayan jadi perintis projek Kebun Kerang Melaka

(FOTO RTM)

BANDAR MELAKA, 9 Mei-180 nelayan sekitar Melaka terpilih menjadi perintis Projek Kebun Kerang yang bermula Jun ini dan dijangka dapat menuai hasil pada Januari 2024.

Menurut Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh, projek tersebut merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan untuk meningkatkan pendapatan nelayan.

Beliau berkata, Projek Kebun Kerang bermula di kawasan perairan Sungai Renggei hingga Sungai Kesang yang telah diwartakan sebagai Zon Industri Akuakultur.

Menurutnya, sebagai permulaan, 18 lot meliputi 21 hektar melibatkan 10 peserta bagi setiap lot dengan peruntukkan sebanyak RM990,000.

"Sekiranya projek ini berjaya, ia akan diperluaskan dengan projek-projek seperti kupang dan lain-lain bergantung kepada situasi dan kajian.

"Kajian telah dijalankan dan terbukti mendapat hasil 10 kali ganda dan telah menjadi tarikan kepada para nelayan jika diusahakan dengan cara yang telah ditetapkan", katanya kepada pemberita selepas Perasmian Kursus Pengurusan dan Watikah Lantikan Peserta Kebun Kerang Negeri Melaka, di sini.

Pihaknya juga menjangkakan lebih 400 metrik tan kerang mampu dituai pada Januari 2024 pada projek berkenaan.


(Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka,
Dr Muhamad Akmal Saleh/ Foto RTM)

Media Baharu