fb fb fb fb fb

92 projek perumahan kategori sakit dipulihkan - KPKT

(FOTO HIASAN)

PETALING JAYA, 9 Mei – Sebanyak 92 projek perumahan swasta kategori sakit telah berjaya dipulihkan sejak Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai ditubuhkan pada 30 Disember tahun lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata bagi tempoh 31 Disember 2022 sehingga 31 Mac 2023 sebanyak 80 projek perumahan swasta dalam kategori sakit telah berjaya diselesaikan sehingga menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

(Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir)

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan 92 projek membabitkan 6,700 unit dianggarkan bernilai RM5 bilion berjaya dikeluarkan daripada senarai projek sakit bagi suku tahun pertama ini. Sebanyak 12 projek sakit juga telah dipantau sehingga kembali mengikut jadual pembinaan," katanya pada sidang media status terkini projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai di Perbadanan PR1MA, di sini.

Tambah Akmal, statistik semasa sehingga 31 Mac lalu menunjukkan 435 projek dikategorikan sebagai sakit, 110 projek lewat dan dan 112 projek dikategorikan sebagai terbengkalai.

Katanya, antara faktor menyebabkan projek perumahan tersebut terbengkalai adalah masalah kewangan pihak pemaju, isu kekurangan pekerja khususnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perkara melibatkan utiliti.

Media Baharu