fb fb fb fb fb

18 kompaun dikeluarkan, peniaga dinasihat jaga kualiti kebersihan makanan

MERLIMAU, 8 Mac- Sebanyak 18 kompaun telah dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka membabitkan nilai keseluruhan RM10,550 atas selepas pemeriksaan dijalankan di 398 premis makanan tapak bazar Ramadan, tujuh kilang ais dan 27 hotel yang menawarkan bufet Ramadan seluruh negeri itu.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Salleh berkata daripada jumlah itu, 14 kompaun ke atas hotel yang menawarkan bufet Ramadan, tiga kompaun dikeluarkan kepada gerai bazar Ramadan dan satu kompaun ke atas kilang ais.

Kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Katanya, kerajaan negeri Melaka tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan makanan sepanjang bulan Ramadan ini.

“Kita sudah buat tinjauan di 27 buah hotel. Daripada 27 buah hotel itu, 14 kompaun telah dikeluarkan. Kompaun ini bukan sahaja dari segi kebersihan tapi dari pelbagai aspek. Saya menyeru mana-mana individu yang datang ke bazar jika melihat ada gerai yang tidak mengamalkan kebersihan, boleh maklumkan pada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) supaya kita boleh ambil tindakan," kata Akmal ketika melakukan 'walkabout' Bazar Ramadan: Keselamatan Juadah Bazar di Pasar Ramadan Merlimau, semalam.

Dr Muhamad Akmal berkata pengendali makanan yang masih gagal mematuhi peraturan selepas dikompaun, mereka tidak akan dibenarkan berniaga di pasar-pasar Ramadan berkenaan.


(Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Salleh melakukan tinjaun ke bazar Ramadan
dengan beberapa anggota penguatkuasa JKN Melaka)

Sementara itu, masih tiada keperluan untuk mewujudkan laluan khas kepada ibu bapa yang membawa kanak-kanak di Pasar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di seluruh Melaka buat masa ini.

Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri, Dr Muhamad Akmal Salleh berkata laluan khas berkenaan hanya akan menambah kesesakan sedia ada di kawasan berkenaan.

Namun katanya, ibu bapa perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak mereka termasuk dengan pemakaian pelitup atau pelindung muka dan tidak pergi ke bazar Ramadan atau bazar Aidilfitri yang terlalu sesak.

"Cadangan laluan khas tidak pernah lagi kita suarakan. Jika dilakukan 2 atau 3 bulan sebelum, mungkin kita boleh fikirkan cara tersebut. Tapi, dengan keadaan sekarang pun sesak, apatah lagi jika kita adakan laluan khas, akan lebih sesak malah dia akan menyebabkan penjarakan sosial. Itu lebih teruk lagi nanti. Kalau bazar Ramadan tahun depan, kita tidak tahu lagi. Insya-Allah kalau cadangan itu diangkat kita mungkin akan ambil ruang yang lebih besarlah," tambahnya.

Melaka juga tidak akan menguatkuasakan larangan membawa kanak-kanak bawah 12 tahun ke pasar dan bazar Aidilfitri seluruh negeri itu.

Media Baharu