
SHAH ALAM, 20 Ogos – Temasya Aneka bakal menghidupkan suasana di Aneka Walk, Shah Alam Sentral (SA Sentral) menerusi 18 acara merangkumi muzik, budaya, hiburan serta program keluarga dan komuniti mulai 4 September hingga hujung tahun ini.
- Memberi peluang perniagaan kepada komuniti agar rakyat dapat berniaga, bukan hanya bekerja di kawasan itu.
- Pengisian fokus keluarga, budaya, kreativiti dan gaya hidup untuk menarik pengunjung tempatan dan pelancong antarabangsa.
- Tarikan utama Kayangan dengan Hikayat Nusantara menggabungkan penceritaan, muzik, tarian, visual dan gastronomi tradisional Melayu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datuk Mahmud Abbas berkata, pengisian berkenaan bukan sahaja memberi nafas baharu kepada kawasan itu, malah membuka peluang kepada masyarakat untuk menjalankan perniagaan.
“Supaya orang kita dapat berniaga, bukan saja dapat kerja di sini, tetapi membuat perniagaan,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika melancarkan Majlis Pratonton Temasya Aneka di sini pada Rabu.
Menurutnya, pembangunan kawasan berkenaan turut memberi perhatian kepada keperluan keluarga dan masyarakat, selain mengetengahkan elemen budaya, kreativiti serta gaya hidup.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim memaklumkan, pelbagai pengisian dirangka bagi menarik pengunjung tempatan dan pelancong antarabangsa, sekali gus menghidupkan suasana di Shah Alam.
“Sesuai dengan nama destinasi ini, kami telah merangka beraneka acara untuk menarik pengunjung tempatan dan pelancong antarabangsa, sekali gus menghidupkan suasana di bandar raya Shah Alam.
“Ada acara untuk keluarga, anak muda, peminat makanan serta pencinta seni, muzik dan budaya,” katanya.
Antara tarikan utama ialah Kayangan yang menggabungkan persembahan budaya dan hidangan tradisional Melayu menerusi persembahan sulung Hikayat Nusantara yang dikelola cef selebriti Prof Datuk Zamzani Abdul Wahab atau lebih dikenali Chef Zam.
Bermula 4 September juga, Hikayat Nusantara akan dipersembahkan tiga kali seminggu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, membawa pengunjung menelusuri sejarah serta budaya Nusantara menerusi penceritaan, muzik, tarian, visual dan gastronomi.
Selain itu, Temasya Aneka turut menampilkan AnekaRasa Warisan dan Taj Mahal, ‘Rockustik’, ‘Freestyle’, ‘Sentral Jazz’, ‘Hallyu Jamm’, ‘Super Universe’, Hingga Ke Jannah serta ‘Aneka Mega Sale’, dengan setiap acara menyasarkan kelompok pengunjung dan minat yang berbeza.