fb fb fb fb fb

160,000 penduduk Malaysia, 50 tahun ke atas alami masalah penglihatan

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni

PUTRAJAYA, 17 November - Seramai 160,000 penduduk Malaysia berusia 50 tahun ke atas mengalami masalah penglihatan dan lapan peratus daripadanya mengalami kebutaan.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, dapatan tersebut merupakan Hasil Tinjauan Mata Kebangsaan Ketiga (NES III) yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Tinjauan Mata Kebangsaan III telah dijalankan pada bulan Julai hingga Oktober 2023 di dua zon iaitu Zon Sarawak dan Zon Timur.

"Tinjauan yang dilakukan di empat negeri iaitu Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Pahang ini bertujuan untuk mengkaji prevalens kebutaan dan masalah penglihatan dalam kalangan rakyat Malaysia berusia 50 tahun dan ke atas.

"Ia juga untuk menilai keberkesanan program-program intervensi kebutaan yang telah dilaksanakan seperti Klinik Katarak Kementerian Kesihatan Malaysia, dan Program Pencari Katarak", katanya pada Majlis Pelancaran Hasil Dapatan Tinjauan Mata Kebangsaan Ketiga dan Program Saringan Mata Kakitangan KKM di Putrajaya.

Datuk Lukanisman Awang Sauni turut menyatakan lebih 55,000 kes pembedahan katarak mata direkodkan di 49 hospital pakar setiap tahun.

Sehubungan itu, KKM telah melaksanakan Klinik Katarak – Kementerian Kesihatan Malaysia (KK-KKM) untuk mengatasi bebanan kes katarak secara sistematik.

Selain KK-KKM, kementerian turut melakukan "Program Pencari Katarak" bagi menangani masalah bebanan kes tersebut serta mewujudkan zon bebas katarak di seluruh negara.

ROSLINA BINTI DIN