KUALA TERENGGANU, 17 November- Susulan ramalan Monsun Timur Laut (MTL) pada 11 November hingga Mac tahun depan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, pada 7 November lalu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Terengganu bersedia menggembleng tenaga seramai 750 pegawai dan anggotanya untuk bertugas sepanjang tempoh MTL kali ini.
Menurut kenyataan media APM Negeri Terengganu, operasi bantuan bencana tersebut kepada penduduk terjejas juga melibatkan penggunaan aset seperti 63 unit bot dan kenderaan darat sebanyak 42 unit pelbagai jenis.
Selain telah mengaktifkan Bilik Gerakan Banjir sejak 1 November bagi mengadakan pemantauan berkala di 262 kawasan hotspot banjir yang dikenal pasti.
Disamping itu, APM Negeri Terengganu juga melaksanakan 'Disaster Risk Reduction', dalam usaha mengurangkan risiko bencana merangkumi elemen latihan dan pelan mitigasi.
Manakala, menerusi Program 'Local Engagement Approach for Disaster and Emergency Response-Leader', pihak APM negeri Terengganu melatih seramai 24,638 orang.
Latihan tersebut melibatkan ceramah keselamatan kepada penduduk berisiko, program keselamatan kepada pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi.
Pada masa yang sama, 838 anggota lantikan baru APM Negeri Terengganu juga diberi kursus asas Pertahanan Awam dan latihan dalam pengurusan bencana seperti pengendalian bot, pengurusan pusat pemindahan sementara dan pengurusan kecemasan.