fb fb fb fb fb

16 penumpang cedera, bas ekspres rempuh treler

JASIN, 28 November- Seramai 16 daripada 27 penumpang cedera ringan apabila bas ekspres dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di KM179.2 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), arah utara, di sini, pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari Pegawai Bomba Kanan II Azman Md Dawam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.57 pagi dan seramai 17 pegawai serta anggota daripada BBP Jasin Bestari dan Tangkak digegaskan ke lokasi.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati sebuah bas ekspres membawa 27 penumpang telah melanggar sebuah treler membawa muatan barangan kitar semula.

“Kejadian tidak membabitkan kemalangan jiwa dan kesemua 16 penumpang itu telah diberi rawatan awal,” katanya dalam kenyataan.

Keadaan bas ekspres yang terlibat kemalangan merempuh treler di Lebuh Raya
Utara-Selatan (arah utara) berhampiran Jasin, awal pagi tadi / FOTO JBPM Melaka

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin DSP Mispani Hamdan berkata kesemua penumpang terlibat adalah warga Singapura dan bas tersebut dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata bas ekspres dipandu lelaki berusia 42 tahun itu dipercayai hilang kawalan dan melanggar belakang treler berkenaan di lorong paling kiri.

Katanya kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media Baharu