ALOR SETAR, 2 Julai - 16 kompaun dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah terhadap penumpang bas menerusi Op Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar Bas di sini, semalam.
Operasi melibatkan pemeriksaan terhadap 18 buah bas, iaitu 14 bas ekspres dan 4 bas persiaran.
Pengarah JPJ Kedah, Stein Van Lutam berkata, kesemua mereka dikenakan kompaun RM300 atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar, manakala dua penumpang bawah umur 18 tahun diberikan nasihat dan advokasi.
Tindakan diambil mengikut Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978, selaras dengan arahan yang berkuat kuasa mulai semalam.
"Apa yang ingin kita sampaikan kepada penumpang sebenarnya penggunaan tali pinggang keledar ini untuk keselamatan diri.
"Pematuhan peraturan itu satu perkara, tetapi untuk keselamatan diri, apabila berlaku kemalangan, kita tak nak penumpang tercampak keluar daripada kerusi disebabkan tidak memakai tali pinggang," katanya kepada pemberita di Plaza Tol Alor Setar Utara.
Penguatkuasaan akan diteruskan di beberapa kawasan, termasuk di terminal bas, serta hentian Rehat dan Rawat (R&R) oleh penguat kuasa JPJ dan Op Bersepadu bersama agensi lain termasuk polis, selain menggunakan rakaman video dan bukti digital untuk mengesan ketidakpatuhan pemandu dan penumpang bas.