GEORGE TOWN, 5 Januari- Sebanyak 16 gerai di Tapak Penjaja Lorong Bukit Dumbar, Jelutong hampir musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Rosli Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran pada pukul 5.32 pagi.
Menurutnya, operasi memadamkan kebakaran melibatkan bantuan keanggotaan dari BBP Paya Terubong dan Lebuh Pantai.
“Kebakaran melibatkan tapak penjaja makanan (medan selera) kelas C dengan anggaran kemusnahan kira-kira 80 peratus.
“Ketika kejadian, peniaga di situ dikatakan baru hendak memulakan perniagaan dan tiada pelanggan di tempat kejadian,” katanya.
Menurut beliau, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pukul 6.49 pagi tadi dan punca kejadian serta kerugian masih dalam siasatan.
Katanya, lokasi terbabit melibatkan tapak penjaja makanan kelas C anggaran keluasan 100x80 kaki persegi.
Operasi memadamkan kebakaran melibatkan bantuan keanggotaan dari BBP Paya Terubong dan Lebuh Pantai.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer turut turun padang melawat lokasi kebakaran untuk bertemu dengan semua penjaja terkesan.
Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berkata pihaknya akan menghulurkan semua bantuan yang diperlukan termasuk menyediakan tempat menjaja sementara dekat Medan Tengku Jelutong.
"Kita akan memberi sedikit pampasan dan membeli peralatan asas beniaga. Astaka yang terbakar akan diperbaiki dan dinaik taraf sebelum semua peniaga dipindahkan balik.
"Terima kasih kepada Dato Bandar Dato IR Rajendran, Ahli Majlis Koay Gaik Kee yang turut hadir dan pasukan Bomba Jalan Perak Jelutong yang telah begegas ke lokasi untuk mengawal kebakaran,"katanya.