fb fb fb fb fb

Agong berkenan melawat Galeri Padi dan Pusat Jualan Beras di Sekinchan

Al-Sultan Abdullah berkenan mencuba mengendalikan jentera menanam benih padi ketika berangkat ke Majlis Menuai Padi di Sekinchan / BERNAMA

SEKINCHAN, 5 Januari- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Galeri Padi dan Pusat Jualan Beras di Sekinchan, Sungai Besar, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pukul 10 pagi disambut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dibuka pada 2013, Galeri Padi berkenaan diusahakan PLS Marketing (M) Sdn Bhd bagi memberi peluang orang ramai menyaksikan sendiri setiap langkah penghasilan beras dari penyemaian anak pokok hingga menjadi beras yang dijual di pasaran.

Dalam sesi lawatan rasmi itu, Seri Paduka berkenan memandu sendiri mesin transplanter bagi menanam padi di Taman Padi Mutiara.

Kemudian, baginda turut berkenan mengendalikan mesin penuai padi kira-kira 10 minit.

Selepas program menuai padi itu, baginda berangkat melawat bangunan kilang baharu milik PLS setinggi lima tingkat dan meninjau pemandangan sawah padi di sekitar Sekinchan dari atas bumbung bangunan itu.

Sebelum berangkat pulang, Al-Sultan Abdullah berkenan mewakili kerajaan negeri Pahang bagi menerima sumbangan beras sebanyak 10 metrik tan daripada PLS untuk mangsa bencana di Pahang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE