fb fb fb fb fb

15 pendaki wanita negara bawa misi bentang kemeja-T gergasi ke Everest sempena Hari Wanita

SEPANG, 8 Mac - Seramai 15 pendaki wanita negara membawa misi membentangkan kemeja-T gergasi bersaiz 250 XL menerusi misi Everest Base Camp (EBC) Mountaineering De Femina sempena sambutan Hari Wanita tahun 2022, hari ini.

Majlis pelepasan ekspedisi pendaki wanita berusia antara 22 dan 56 tahun itu, disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tema sambutan Hari Wanita tahun 2022 iaitu "Saksama Bersama" bertepatan dengan misi kerana ia mencerminkan semangat berpasukan yang ditonjolkan kesemua peserta.

Ekspedisi tersebut melibatkan pelbagai peringkat yang terdiri daripada pelajar, tenaga pengajar dan penjawat awam.

"Bila di sana mereka bukan sahaja membawa nama wanita tetapi juga membawa nama Malaysia, inilah sumbangan wanita hebat kepada negara, kejayaan tersebut kelak akan menjadi bukti bahawa golongan wanita juga boleh berada di mana sahaja," katanya selepas majlis pelepasan misi Everest Base Camp (EBC) Mountaineering De Femina di KLIA, di sini, pagi tadi.


(Datuk Seri Rina Harun ketika majlis pelepasan misi Everest Base Camp (EBC) Mountaineering De Femina di KLIA, Sepang)

Rina turut mendoakan perjalanan dan pendakian kesemua peserta ke Everest berjalan lancar serta berharap semangat yang ditonjolkan mereka akan menjadi sumber inspirasi kepada wanita lain.

Sementara itu, Ketua Misi tersebut, Prof Madya Dr Farha Abdol Ghapar berkata semua peserta amat teruja memulakan misi pendakian ke EBC selepas tertangguh sejak tahun 2020 akibat pandemik COVID-19.

Beliau turut menyatakan perjalanan mendaki Gunung Everest sejauh 130 kilometer pendakian yang akan mengambil masa selama 12 hari.

Media Baharu