GUA MUSANG, 15 September- Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (HoSZA) dan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) melatih 15 sukarelawan belia orang asli di Pos Hau sebagai barisan hadapan perubatan kecemasan bagi membantu penduduk pedalaman.
Pengarah Projek Pasukan Kesejahteraan HoSZA-HPUSM Pos Hau, Profesor Dr. Shaik Farid Abdull Wahab berkata, projek itu dilaksanakan berikutan jarak jauh kawasan tersebut dari pusat kesihatan, sekali gus memberi peluang komuniti setempat melakukan rawatan awal.
"Projek ini ialah pemindahan ilmu daripada pihak universiti kepada komuniti orang asli. Pos Hau terletak 32 kilometer dari Kuala Betis, lebih tiga jam perjalanan.
"Jika berlaku kecemasan, mereka boleh memberi rawatan awal seperti menghentikan pendarahan sebelum pesakit dibawa keluar," katanya.
Tenaga pengajar, Dr. Mardiah Zakaria pula menjelaskan, meskipun peserta tidak mempunyai latar belakang perubatan, mereka mampu menguasai asas kesihatan selepas seminggu latihan.
"Selepas menjalani latihan, mereka sudah mampu mengajar orang lain. Program sebegini sangat bermanfaat kerana komuniti jauh daripada pusat kesihatan dan mereka kini boleh mengurus kecemasan asas,” katanya.
Sementara itu, salah seorang sukarelawan, Iryasharin Esa menyifatkan ilmu yang dipelajari amat berguna kepada komuniti mereka.
"Kami berjaya belajar asas rawatan kecemasan dan boleh membantu penduduk. Terima kasih kepada USM dan UniSZA kerana melatih kami," katanya.
Sukarelawan terlibat menjalani latihan tiga fasa merangkumi bantuan pernafasan (CPR), rawatan luka, kepatahan, tercekik serta penjagaan kesihatan mulut, sebelum dilantik sebagai duta perubatan kecemasan di kampung masing-masing.
Mereka ditemui dalam Program Perkhidmatan Komuniti Bergerak Pasukan Kesejahteraan HoSZA-HPUSM di Kampung Redip, Pos Hau.