fb fb fb fb fb

15 individu ditahan terlibat aktiviti jual loteri awam tanpa lesen

ALOR SETAR, 15 Januari- Taktik berselindung di belakang premis tersembunyi dan secara bergerak digunakan oleh individu yang disyaki menjalankan aktiviti penjualan loteri awam tanpa lesen gagal apabila Polis Kontinjen Kedah melakukan operasi di premis terbabit.

Dalam operasi tersebut, pihaknya menahan 15 individu disyaki menjalankan aktiviti terbabit selain merampas 15 telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM1,530.

Ketua Polis Kedah CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, operasi yang dijalankan itu "hasil daripada maklumat awam serta maklumat daripada pengikut Facebook Polis Kedah.

"Berikutan itu Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Polis Kontinjen Kedah telah melakukan beberapa siri risikan dan pemeriksaan di sekitar Daerah Kulim, Kota Setar dan Kuala Muda," katanya di sini.

Siasatan awal mendapati, kebanyakan aktiviti tidak bermoral itu dijalankan dan berselindung disebalik premis perniagaan seperti kedai runcit, kedai makan dan kedai penjualan kupon tambah nilai.

Kesemua tangkapan dan rampasan disiasat bawah Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

PDRM Kedah komited dalam membanteras kegiatan judi haram dan berharap seluruh penduduk Kedah sama-sama menyalurkan maklumat kepada polis untuk tindakan lanjut.

(Individu ditahan terlibat aktiviti jual loteri awam tanpa lesen)

Media Baharu