KUALA LUMPUR, 27 Oktober- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 1,614 kes demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-42 iaitu dari 16 hingga 22 Oktober ini berbanding 1,477 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menunjukkan peningkatan sebanyak 137 kes (9.3%).
(Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah)
"Sebanyak satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-42 tahun 2022.
"Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 48,109 kes berbanding 21,308 kes bagi tempoh sama tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 26,801 kes (125.8%), Manakala sebanyak 29 kematian
akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 16 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2021, iaitu peningkatan sebanyak 13 kematian (81.3%)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, 51 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 53 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 30 lokaliti hotspot berada di Negeri Selangor, 11 lokaliti hotspot di Sabah, lapan lokaliti hotspot di WPKL & Putrajaya dan masing-masing satu lokaliti hotspot di Kedah serta Melaka.
Sementara itu, survelan chikungunya merekodkan sebanyak tujuh kes pada minggu ke-42 dengan tiga kes dari Pulau Pinang, dua kes dari WPKL & Putrajaya dan masing-masing satu kes dari Selangor serta Melaka. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 669 kes.
Bagi survelan zika, sebanyak 1,619 sampel darah dan 16 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.
Keadaan hujan diselang-seli dengan cuaca panas yang berlaku di negara kita mutakhir ini merupakan keadaan yang amat kondusif untuk nyamuk Aedes membiak.
Justeru, Dr Noor Hisham menasihatkan, periksa dan musnahkan tempat berpotensi pembiakan nyamuk Aedes di dalam dan di luar rumah sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu.
"Pastikan kawasan berhampiran dengan kediaman seperti lorong belakang rumah, kawasan kebun tanaman, tanah lot kosong dan taman rekreasi bebas dari bekas-bekas berpotensi yang boleh menjadi tempat pembiakan Aedes.
"Simpan bekas yang masih diperlukan di tempat kering serta buang bekas yang tidak diperlukan secara berhemah.
"Jangan alpa, demam denggi boleh meragut nyawa. Tiada Aedes, tiada Denggi, Chikungunya, dan Zika," katanya.