LABUAN, 12 Mac- Seramai 13 Pendatang Tanpa Izin (PATI) terdiri daripada tujuh lelaki dan enam wanita dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal melebihi tempoh masa yang ditetapkan dan kesalahan berulang masuk ke Wilayah Persekutuan Labuan.
Hukuman dijatuhkan Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad di Mahkamah Majistret Labuan.
Kesemua mereka berusia antara 19 hingga 41 tahun didakwa di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal membayar denda sebanyak RM 10,000 dan diperintahkan menjalani hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap.
Empat pesalah menerima satu sebatan dan dua pesalah lain menerima dua sebatan.
Pesalah ditahan hasil tangkapan Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan di kawasan 'hotspot' iaitu sekitar Pantai Tanjung Batu, Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan dan di Pejabat Imigresen Labuan.