IPOH, 12 Mac-Seramai 350 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah menyertai Program Repatriasi Migran (PRM) yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak bermula 1 Mac 2024.
Pengarah JIM Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata ia merupakan inisiatif kerajaan kepada warga asing yang melakukan kesalahan imigresen tertentu untuk pulang ke negara asal secara sukarela dengan menawarkan kadar kompaun yang lebih rendah.
Program tersebut dilaksanakan sepenuhnya oleh agensi tersebut tanpa penglibatan mana-mana pihak ketiga atau agen berkuat kuasa sehingga 31 Disember ini.
"Syarat-syarat kelayakan PATI untuk mendaftar dengan program ini adalah seperti berikut. Pertama memiliki pasport atau dokumen perjalanan yang sah, kedua bebas daripada rekod kesalahan jenayah dan ketiga memiliki tiket pulang ke negara asal yang telah ditetapkan tarikh dalam tempoh 14 hari dari tarikh hadir ke Pejabat JIM. PATI hadir tanpa perlu membuat janji temu ('walk in') boleh datang terus ke Bahagian Penguatkuasa JIM, Perak," katanya kepada pemberita di sini.
Jelasnya, pelaksanaan program itu juga sebagai satu mekanisme pembanterasan PATI dalam negara disamping mereka dikecualikan daripada tindakan pendakwaan kesalahan imigresen yang dilakukan.
Manakala kompaun yang dikenakan adalah berjumlah antara RM300 hingga RM500 sahaja.
Sementara itu, setakat 1 Mac lalu, Meor Hezbullah berkata seramai 350 PATI termasuk 15 kanak-kanak telah diambil tindakan kesalahan dibawah seksyen 6(1)(c) iaitu tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di dalam negara, dan seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa, Akta Imigresen 1959/63.
Ia melibatkan 268 warga Indonesia, Bangladesh (25), India (24), Pakistan (17), Myanmar (9), Nepal (3), Sri Lanka (2), Vietnam (1) dan Singapura (1).
Kesemua tahanan berusia antara 11 bulan hingga 64 tahun.