KUALA LUMPUR, 12 Mac- Mangsa insiden kebakaran yang memusnahkan sekurang-kurangnya lima rumah di Kampung India Settlement, Kampung Pandan di sini pada 9.45 malam ini terpaksa berlari ke jalan utama untuk menyelamatkan diri.
S. Thulasi berkata dia menyedari rumahnya terbakar setelah melihat api dari arah dapur dan terus memaklumkan insiden itu kepada ahli keluarga yang lain.
“Ketika kejadian, terdapat tujuh ahli keluarga dalam rumah dan kami tidak sempat untuk menyelamatkan apa-apa barang. Saya hanya fikir untuk selamatkan diri.
“Kad pengenalan, baju, dokumen penting lain turut musnah dijilat api. Kini saya dan keluarga hanya tinggal sehelai sepinggang,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian.
Tinjauan Bernama mendapati lebih 10 rumah lain turut terjejas dalam insiden kebakaran itu dan empat jentera bomba serta tiga lori tangki terlibat dalam operasi pemadaman api.
Saksi kejadian, A. Annuradah berkata dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak di kawasan berhampiran ketika melihat api sedang marak.
“Saya berhenti untuk melihat kawasan kebakaran itu. Api cepat merebak kerana kedudukan rumah di situ yang rapat,” katanya.
K. Saravanakumar pula berkata dia melihat ramai mangsa berlari menyelamatkan diri namun dan ada beberapa penduduk yang hanya sempat menyelamatkan barangan rumah seperti periuk, kipas angin serta pinggan mangkuk.
Bernama sedang berusaha mendapatkan kenyataan rasmi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.- BERNAMA