KUALA LUMPUR, 7 Mac- Sebanyak 127 tapak pelupusan sampah haram berjaya ditutup, di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata pihaknya menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menyasarkan untuk menutup 192 tapak sampah haram menjelang hujung bulan depan.
Penutupan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) itu melibatkan beberapa lokasi yang dikenal pasti di tujuh negeri iaitu di Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis dan Wilayah Persekutuan.
"Kita berazam membersihkan semua 192 'hotspot' cuma masalahnya selepas pihak berkuasa membersihkannya, masalah dia datang kembali, berulang.
"Untuk itu kita akan mengambil langkah mencegah, tapi ia memerlukan kesedaran sivik yang tinggi, kerjasama dan semangat cintakan negara," katanya.
(Nga Kor Ming)
Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi pembersihan dan penutupan tapak sampah haram di Taman United, di sini hari ini.
Kategori pemilik tanah yang dijadikan tapak pelupusan sisa pepejal haram dilaporkan 79 peratus di tanah kerajaan, manakala 21 peratus di tanah milik persendirian.
Sementara itu, Nga berkata pihaknya terus melakukan pemantauan berkala dan penguatkuasaan di lokasi tapak sampah haram termasuk melalui pemasangan 135 unit kamera litar tertutup (CCTV) boleh alih di 22 lokasi.
Setakat ini 22 lokasi dipasang CCTV dan dua tangkapan berjaya dilakukan.
12 lokasi turut dipantau menggunakan tujuh unit dron secara keseluruhan.