fb fb fb fb fb

107 set bubu naga dirampas di perairan Yan

(Maritim Malaysia mengesan 107 set bubu naga di empat lokasi sepanjang perairan Yan)

KUALA KEDAH, 23 Disember- Sebanyak 107 set bubu kambang atau bubu naga dirampas dalam satu operasi khas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah di empat lokasi sepanjang perairan Yan, Kedah, semalam

Pengarahnya, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, empat lokasi terbabit ialah di 0.4 batu nautika hingga 0.8 batu nautika sekitar Kuala Sedaka hingga ke perairan Kuala Sala.

"Dalam operasi itu, anggota bot ronda Maritim Malaysia telah menemukan pelampung penanda dan pancang yang mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga berukuran lebih kurang 10 meter panjang di beberapa lokasi," katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, operasi dijalankan susulan aduan dan rungutan komuniti maritim.

"Kegiatan pemasangan bubu naga sukar dibanteras berikutan bubu naga boleh dibeli dipasaran dengan harga yang murah.

"Nelayan juga diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan," katanya.

Noor Azreyanti memaklumkan, kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM12,840 itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

(Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah menemukan pelampung penanda dan pancang
mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga terbabit)

Media Baharu