fb fb fb fb fb

100 peserta jayakan misi "Al-Quran Di Mana-Mana: Tilawah dan Tadabbur”

Peserta Program “Al-Quran Di Mana-Mana: Tilawah dan Tadabbur”

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Seramai 100 peserta Program “Al-Quran Di Mana-Mana: Tilawah dan Tadabbur” selamat tiba di KL Sentral hari ini selepas menjayakan misi tiga hari menyemarakkan budaya membaca dan mentadabbur al-Quran dari Kuala Lumpur ke Hatyai, Thailand.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, peserta terdiri daripada pelajar Darul Quran JAKIM, Rakan Siswa YADIM dan pegawai agensi agama, yang memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran serta tadabbur sepanjang perjalanan menggunakan tren elektrik (ETS).

“Dalam permusafiran ini kita membaca dan bertadabbur al-Quran dengan dua tujuan utama: mempromosikan majlis tilawah serta menggalakkan masyarakat membaca al-Quran di mana sahaja.

"Apabila masyarakat melihat para pelajar membaca al-Quran di dalam kereta api, ia menjadi contoh bahawa bacaan al-Quran tidak terhad kepada masjid, surau atau rumah sahaja, tetapi boleh dilakukan di mana-mana,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menyambut Ketibaan Peserta Program Al-Quran Di Mana-Mana: Tilawah dan Tadabbur di ibu negara.

Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu turut menjadi platform menyemarakkan syiar Islam dan mempromosikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) yang bermula 2 Ogos ini.

Datuk Dr. Mohd Na’im turut menyifatkan program itu sebagai gelombang baharu dakwah al-Quran yang lebih kreatif dan dekat dengan rakyat, selain mengiktiraf kerjasama strategik pelbagai agensi serta syarikat korporat, termasuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menyediakan kemudahan perjalanan khas untuk peserta.

 

3107 NSL MENTERI AGAMA QURAN HATYAIMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE