fb fb fb fb fb

Inisiatif dalam RMK13 bagi tangani beban kos sara hidup rakyat

Keprihatinan kerajaan tangani beban kos sara hidup rakyat / Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 31 Julai - Langkah Kerajaan MADANI meneruskan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Payung Rahmah, Pakej Rahmah dan beberapa inisiatif lagi dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK 13), menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menangani beban kos sara hidup rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata, tindakan kerajaan meningkatkan perbelanjaan RM10 bilion kepada RM13 bilion bagi program bantuan STR dan SARA dilihat sebagai bukti kesungguhan kerajaan membantu rakyat.

"Jika dahulu jumlah penerima bantuan 700,000 orang kini telah meningkat secara drastik kepada 5.4 juta rakyat dan ia membuktikan kerajaan serius meringankan beban hidup rakyat", katanya.

Selain itu, peluasan program Payung Rahmah memberi banyak manfaat kepada rakyat di luar bandar termasuk Kelantan, Sabah dan Sarawak.

"Ramai rakyat mengikuti program Jualan Rahmah yang diadakan sebelum ini kerana bagi golongan susah, potongan harga yang diberikan sangat bermakna buat mereka", katanya.

Tambah Dr Hafidzah lagi, dalam konteks RMK 13, usaha menangani kos sara hidup merupakan salah satu daripada sembilan tonggak utama yang bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat secara menyeluruh.

Beliau yakin tindakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menaikkan pendapatan rakyat dan memperbaiki tatakelola serta pengurusan negara dapat dilaksanakan.

HASRON BIN HASSAN