fb fb fb fb fb

100 pelajar SK Malau terima sumbangan YPM bernilai RM10,000

JITRA, 30 September- 100 pelajar Sekolah Kebangsaan Malau, Jitra menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM10,000 daripada Yayasan Pelajaran MARA (YPM).

Pengerusi YPM, Datuk Mohd Razman Yaacob berkata matlamat sumbangan adalah untuk membantu para pelajar yang memerlukan khususnya di kawasan luar bandar.

Selain pelajar, pihak sekolah juga turut menerima sumbangan berjumlah RM3,000.

“100 pelajar ni menerima bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM100 seorang melalui Skim Bantuan Persekolahan manakala sumbangan sebanyak RM3,000 diberikan kepada Sekolah Kebangsaan Malau untuk membeli peralatan membantu proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pelajar-pelajar. Kedua-dua sumbangan ni kita salurkan dibawah Seksyen Bantuan Persekolahan (SBP) YPM,” kata Mohd Razman ketika dihubungi RTM di sini, hari ini.


(Pengerusi YPM, Datuk Mohd Razman Yaacob menyampaikan sumbangan tersebut di SK Malau, Jitra)

Selain itu, tiga orang pelajar turut ditawarkan Skim Anak Angkat YPM di bawah Seksyen Pembiayaan Pendidikan (SPP).

“Tiga orang pelajar ini terpilih sebagai anak angkat YPM di mana setiap pelajar itu ditaja sejumlah RM960 setahun bagi membantu meneruskan kesinambungan dalam pelajaran masing-masing.

“Anak-anak angkat YPM ini ditaja sehingga Tahun 6 dan kemudiannya jika memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan akan disambung di peringkat menengah dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5,” tambahnya.

Datuk Mohd Razman berharap sumbangan YPM ini dapat meringankan beban para pelajar dan dapat menyuntik semangat untuk mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.

Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak terutama badan korporat untuk menyalurkan sumbangan kepada YPM bagi membantu mereka yang memerlukan.

Media Baharu