fb fb fb fb fb

Ekonomi UK berkembang pada suku kedua, redakan kebimbangan tentang kemelesetan

(Menurut kenyataan ONS, data terbaharu menunjukkan KDNK berkembang 0.2%
dalam tempoh tiga bulan hingga akhir Jun, bukan menguncup 0.1%/REUTERS)

LONDON, 30 September- Ekonomi Britain berkembang pada suku kedua 2022 dan tidak mengecut seperti yang difikirkan sebelum ini.

Menurut kenyataan Jabatan Perangkaan Kebangsaan (ONS), data terbaharu menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 0.2% dalam tempoh tiga bulan hingga akhir Jun, bukan menguncup 0.1%.

"Hari ini kami telah menerbitkan angka KDNK yang lebih baik, menggabungkan kaedah dan sumber baharu," kata Ketua Ekonomi ONS, Grant Fitzner.

"Angka baharu ini termasuk anggaran sektor kewangan yang lebih tepat dan bagaimana kos yang dihadapi sektor kesihatan berubah sepanjang pandemik," tambah beliau.

(penganalisis Capital Economics, Paul Dales berkata ekonomi masih belum kembali ke tahap
prapandemik/REUTERS)

Kenyataan itu membayangkan bahawa Britain tidak mengalami kemelesetan, sekali gus meredekan kebimbangan tentang kemelesetan di tengah-tengah kegawatan berterusan disebabkan 'bajet mini' yang dibentangkan kerajaan.

Bank of England (BoE) pada awal bulan ini memaklumkan bahawa ekonomi Britain sedang tenggelam dalam kemelesetan pada suku ketiga 2022.

Rabu lalu bank pusat Britain itu membeli bon kerajaan setelah kesangsian terhadap bajet mini yang sarat dengan insentif pemotongan cukai, menyebabkan kos pinjaman melonjak dan nilai tukaran matawang pound kepada dolar menjunam seketika, ke paras terendah.

"Berita baiknya ialah ekonomi belum mengalami kemelesetan," kata penganalisis Capital Economics, Paul Dales.

"Berita buruknya, ekonomi masih belum kembali ke tahap prapandemik," tambahnya.-AFP

Media Baharu