fb fb fb fb fb

Miliki senjata api buatan sendiri, lima individu ditahan polis

KOTA BHARU, 30 September- Polis Kelantan menahan empat lelaki warga tempatan serta seorang lelaki warganegara Thailand serta merampas selaras senapang patah bersama amunisi serta daging kijang tanpa lesen di Gua Musang, kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata suspek ditahan dalam satu serbuan Ops Tapis di sebuah bangsal ladang sawit Felda Chiku 2, Rabu lalu.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu beg plastik hitam yang mengandungi kepala dan bahagian daging dipercayai kijang.

Pemeriksaan lanjut di luar bangsal menemukan selaras senapang patah yang dipercayai buatan sendiri di balut dengan kanvas plastik.

"Pemilikan senjata api tanpa lesen untuk tujuan apa pun adalah salah. Bukan sebab tujuan, pemilikan itu sudah salah. Walaupun senapang itu adalah senapang tiruan, senapang angin tapi pemilikan itu tetap dianggap salah di bawah Akta Senjata Api," kata Muhamad Zaki kepada pemberita dalam sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Jelas Datuk Muhamad Zaki, kesemua suspek berusia antara 22 hingga 39 tahun positif dadah dan ditahan reman selama enam hari bermula Rabu lalu manakala lelaki warga Thailand selama 14 hari.

Dalam serbuan tersebut, polis merampas senapang patah bersama 14 butir peluru hidup 12 bore serta daging kijang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, Seksyen 6 (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 60 (1) (b) Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010.


(Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun)

Media Baharu