fb fb fb fb fb

Aplikasi "Amazing Seniors", bantu warga emas dapatkan maklumat semasa

PETALING JAYA, 30 September- Warga emas kini boleh mendapatkan maklumat berkaitan komuniti, kesihatan, pekerjaan dan aktiviti hanya di hujung jari melalui satu aplikasi khusus yang dikenali sebagai "Amazing Seniors".

Aplikasi ekosistem digital melalui penggunaan telefon pintar itu telah disempurnakan pelancarannya oleh Senator Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi di Petaling Jaya, Selangor.

Platform tersebut juga berguna sebagai medium pendedahan kepada anak-anak atau penjaga untuk mendapatkan maklumat serta khidmat nasihat penjagaan warga emas.

"Mereka boleh sertai aktiviti dan juga boleh dapatkan khidmat nasihat. Mereka yang menjaga warga emas ini juga perlu kita berikan sokongan. Jadi, kalau mereka nak beriadah lakukan aktivti sekali gus ahli keluarga kita pun boleh berinteraksi dengan yang lain dan sama-sama belajar kerana ramai warga emas kita ada penyakit parkinson, masalah neuron dan masalah dimensia.

Harapan saya agar ramai lagi yang akan datang untuk bersama-sama dalam menyediakan populasi warga emas di negara kita menjadi lebih berkeyakinan dan tidak rasa tersisih," kata Ras Adiba kepada RTM selepas Majlis Pelancaran Aplikasi "Amazing Seniors" pada Festival Warga Emas Pertama Malaysia 2022 yang juga bersempena Sambutan Hari Warga Emas Sedunia yang disambut setiap tahun pada 1 Oktober.


(Senator Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata demikian dalam sidang
media selepas majlis pelancarannya hari ini)

Festival yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya ceramah, pemeriksaan serta jualan produk kesihatan.

Media Baharu