fb fb fb fb fb

JPJ kongsi gambar kenderaan salah guna laluan kecemasan

(Salah guna laluan kecemasan merupakan kesalahan yang tidak boleh dikompaun dan akan terus didakwa ke mahkamah/
FB Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia)

KUALA LUMPUR, 21 Januari- Lebih 100 buah kenderaan dikesan menyalahgunakan laluan kecemasan di lebuh raya, hari ini.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Facebook rasmi turut berkongsi sebahagian gambar kenderaan berkenaan yang berjaya dirakam oleh Bahagian Penguatkuasaan JPJ dalam Ops Pemantauan Khas sempena sambutan Tahun Baru Cina.

"Pemantauan hari keempat ini telah dilaksanakan di laluan sepanjang lebuh raya dari Johor Bharu ke Putrajaya, sekitar pukul 10.00 pagi hingga 2.00 petang tadi.

"Hasil pemantauan itu, JPJ berjaya mengesan dan merakam lebih 100 buah kenderaan yang melakukan kesalahan memandu di lorong kecemasan.

"JPJ ingin menegaskan bahawa kesalahan tersebut adalah antara tujuh kesalahan tidak boleh dikompaun dan akan terus didakwa ke mahkamah," katanya.

JPJ menyenaraikan tujuh kesalahan berkenaan iaitu memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan.

Sehubungan itu, orang ramai disarankan untuk mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan sepanjang musim perayaan ini bagi mengelak berlakunya kesesakan dan menjadi punca kemalangan maut di jalan raya.

"Sebarang aduan kesalahan lalu lintas termasuk tujuh kesalahan utama boleh disalurkan melalui menu e-Aduan@jpj di Aplikasi MyJPJ atau melalui aduan email JPJ Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.," katanya.

(Foto FB Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia)

Media Baharu