SEKINCHAN, 20 Disember - 25 lokasi Desa Kirana diumumkan sebagai destinasi pelancongan desa bernilai tinggi bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, setiap lokasi Desa Kirana menawarkan produk pelancongan yang tersusun, selain pengalaman autentik yang berbeza kepada para pengunjung.
Menurut beliau, pelaksanaan Pakej Lengkap Desa Kirana mencerminkan komitmen KKDW untuk memastikan pembangunan luar bandar tidak lagi bersifat sampingan, sebaliknya menjadi tunjang utama kepada kekuatan dan kestabilan ekonomi negara.
"Dengan kerjasama MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) dan juga KKDW bersama-sama dengan Persatuan Homestay dan juga Persatuan Inap Desa, kita menjangkakan pelancong-pelancong terutamanya dari Jepun dan Korea amat berminat untuk datang ke kawasan desa.
"Semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Pelancongan dan Kebudayaan, saya menyasarkan pada akhir tahun 2026, saya mahu melihat Desa Kirana yang merangkumkan pakej 25 kampung di negara ini, dijadikan destinasi pelancongan dengan sasaran kedatangan kira-kira 100,000 pelawat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Pakej Lengkap Desa Kirana di Dataran Kampung Batu 23, Sungai Nibong di sini.
Antara kampung yang disenaraikan bawah Pakej Lengkap Desa Kirana ialah Kampung Batu 23 Sungai Nibong di Sekinchan, Kampung Bayai Baru di Jempol, Kampung Jelawang di Kuala Krai, serta Tasik Kenyir di Hulu Terengganu.