GEORGE TOWN, 20 Disember - Sejarah dan warisan Balik Pulau di Pulau Pinang kini dihimpunkan dalam buku bertajuk 'Sejarah Balik Pulau: Kajian Tempatan dan Perubahan'.
Naskhah setebal 964 muka surat itu menjadi panduan penting untuk memahami nilai warisan dan identiti komuniti tempatan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, buku tersebut merekodkan pelbagai peristiwa penting yang pernah berlaku di kawasan berkenaan, termasuk pendudukan Jepun, pentadbiran British dan kemerdekaan Tanah Melayu serta sumbangan tokoh-tokoh terdahulu.
"Pengarang juga telah melawat setiap tapak perkuburan pelbagai agama termasuk Katolik, Buddha, Taoisme, Hindu dan Islam dengan kebenaran pihak-pihak berkaitan.
"Usaha ini membolehkan catatan sejarah menyeluruh dihasilkan berdasarkan rekod batu nisan yang dikaji secara teliti.
"Malah, sejarah institusi pendidikan dan rumah ibadat di Balik Pulau dari Sekolah Kongsi (1880) hingga St. George Balik Pulau (1920) serta rumah ibadat pelbagai agama turut menjadi sebahagian intipati penerbitan ini," katanya.
Sementara itu penulis buku berkenaan, Chin Choong Yin berkata, banyak kajian yang ada di pasaran tidak mempunyai sebarang rekod dalam bentuk bahan bercetak yang dikaitkan dengan Balik Pulau secara profesional.
"Ini membuatkan saya memutuskan untuk meneruskan usaha mencari bukti dan juga sebarang perkara yang berkait kepada lambari pulau sehingga terhasilnya sebuah buku," katanya.
Majlis pelancaran buku tersebut berlangsung di Bilik Gerakan Negeri Pulau Pinang di Komtar di sini yang turut dihadiri ADUN Komtar, Teh Lai Heng.