AYER KEROH, 18 Disember - Sebanyak 10 premis meliputi lima pasar raya di Melaka melaksanakan Program Jualan Rahmah Madani 'Back to School' bermula hari ini hingga 28 Disember, yang menawarkan pengurangan harga antara 20 hingga 30 peratus.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri, Allex Seah Shoo Chin berharap program seumpama ini dapat membantu rakyat menangani perubahan kos sara hidup masa kini.
"Tahun ini, program Jualan Rahmah Madani ‘Back to School’ akan melibatkan 10 premis di Melaka, termasuk pasar raya, pusat beli-belah, dan kedai pakaian, yang berlangsung dari 18 hingga 28 Disember.
"Program ini bertujuan memudahkan orang ramai membeli keperluan persekolahan dengan harga lebih berpatutan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan sesi tinjauan mesra Program Jualan Rahmah Madani Kembali ke Sekolah di Ayer Keroh.
Program berkenaan turut menyantuni 30 anak-anak dari Persatuan Anak-anak yatim Bukit Katil.