CYBERJAYA, 18 Disember - Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM36.5 juta bagi membiayai persiapan persekolahan 85,336 pelajar asnaf di seluruh negeri, sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan baharu pada Januari depan.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari, berkata bantuan disalurkan melalui 39,240 ketua keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf, merangkumi yuran serta keperluan persekolahan mengikut peringkat pendidikan.
Setiap ketua keluarga menerima bantuan yuran antara RM100 hingga RM250, berserta tambahan RM100 bagi menampung keperluan lain.
Penyaluran dilakukan melalui akaun bank, e-dompet, baucar tunai dan tunai, dengan agihan tertinggi direkodkan di Petaling (7,754 ketua keluarga), Klang (6,773) dan Hulu Langat (6,169).
"Bantuan itu penting bagi memastikan anak-anak asnaf tidak tercicir dalam pendidikan, sekali gus memberi peluang kepada mereka menamatkan persekolahan dan membantu keluarga keluar daripada kitaran kemiskinan," katanya selepas majlis simbolik agihan bantuan yang disempurnakan Ahli Pemegang Amanah LZS, Datuk Paduka Profesor Emeritus Dr. Muhamad Awang di sini.
Bantuan kelengkapan persekolahan melibatkan kadar RM170 bagi Sekolah Rendah Kebangsaan, Sekolah Rendah Agama (RM150) dan RM200 bagi sekolah menengah, termasuk sepasang pakaian seragam bagi setiap pelajar.
Penebusan boleh dibuat mulai 20 Disember 2025 hingga 20 Mac 2026 melalui aplikasi Nine e-Wallet di 94 outlet dan pasar raya terpilih.