fb fb fb fb fb

10,983 individu diisytihar muflis di Kedah

Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia Negeri Kedah, JG Kaameni Jaya Raman

ALOR SETAR, 24 Februari- Seramai 10,983 kes kebankrapan atau muflis direkodkan di Kedah hingga Januari lalu.

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada 225,279 kebankrapan yang direkod dan ditadbir Jabatan Insolvensi Malaysia di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia Negeri Kedah, JG Kaameni Jaya Raman berkata majoriti individu yang diisytiharkan bankrap berusia antara 35 hingga 40 tahun.

Beliau berkata, ia disebabkan oleh beberapa faktor antaranya, pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan, pinjaman sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan, hutang kad kredit dan pinjaman pelajaran.

Jelasnya, individu yang diisytiharkan bankrap akan berdepan kesukaran termasuk tidak boleh memegang jawatan dalam badan berkanun atau organisasi, tidak boleh memegang jawatan atau penasihat atau pekerja sesuatu pertubuhan berdaftar dan tidak boleh menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara / Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN.

Katanya, setelah perintah kebankrapan dijatuhkan, semua akaun bank individu terbabit akan dibekukan dan ditutup; tidak keluar dari Malaysia; tidak boleh membuat pinjaman melebihi RM100,000 tanpa memaklumkan status kebankrapan kepada pemberi pinjaman.

Selain itu, individu terlibat juga tidak boleh menjalankan perniagaan sama ada sendiri atau perkongsian dan tidak boleh bekerja dengan suami atau isteri atau saudara mara; tidak layak menjadi pengarah syarikat dan tidak boleh mengambil tindakan di mahkamah.

“Perkara ini oleh berlaku disebabkan pengurusan kewangan tidak berapa efektif dan kewangan perlu diimbangi antara kemampuan dengan kehendak kita.

"Ada satu kes, individu tersebut membeli kereta mewah tapi sebenarnya dia tidak mampu, namun kerana sikap materialistik, dia terperangkap akhirnya gagal membayar ansuran dan akhirnya muflis"katanya.

Katanya, seseorang individu boleh keluar daripada status bankrap melalui empat cara iaitu Perintah Pembatalan Melalui Mahkamah; Perintah Pelepasan Melalui Mahkamah; Pelepasan Melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi; dan Pelepasan Automatik.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE