GEORGE TOWN, 11 Februari - Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di SPICE Arena Bayan Baru, di sini, petang ini berlangsung dalam suasana muhibah dengan dihadiri kira-kira 10,000 masyarakat berbilang kaum, yang datang dari seluruh pelusuk negeri.
Selain rakyat Pulau Pinang, pelancong asing juga dilihat tidak ketinggalan hadir bagi merasai sendiri kemeriahan suasana sambutan, di samping menikmati pelbagai juadah makanan Melayu, Cina dan India yang disediakan.
Terdahulu, Chow bersama isteri Tan Lean Kee yang berpakaian sedondon berwarna merah, meluangkan masa menyantuni tetamu yang hadir.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri Toh Puan Khadijah Moha Nor.
Selain itu, hadir sama barisan kepimpinan kerajaan negeri dan pusat antaranya Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih yang juga Pengerusi DAP Lim Guan Eng; serta veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang.
Selain menggaul ‘Yee Sang’ yang menjadi tradisi masyarakat Cina, para hadirin turut disajikan dengan persembahan tarian singa diikuti, tarian kebudayaan serta nyanyian.
Chow ketika ditemui berkata majlis tersebut yang dianjurkan setiap tahun, bukan saja bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina, tetapi lebih penting menjadi platform mendekatkan pemimpin dengan masyarakat.
“Sambutan sebegini bukan saja diadakan sempena Tahun Baharu Cina tetapi perayaan lain juga. Pemimpin dan masyarakat perlu seiring bersama-sama beri galakan untuk terus berusaha membangunkan negeri ini,” katanya.
Sementara itu, orang ramai yang ditemui meluahkan keterujaan kerana dapat bersama-sama menyambut Tahun Baharu Cina biar pun berlainan agama.
M. Barethi, 41, dari Simpang Ampat berkata dia terharu melihat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang hadir, sekali gus menggambarkan semangat Malaysia MADANI seperti yang sering dilaungkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Walaupun ini perayaan masyarakat Cina tetapi kita dapat lihat ramai dari kaum lain Melayu, India yang turut hadir dan ini menunjukkan betapa kita hidup dalam suasana yang harmoni,” katanya yang hadir bersama suami Ananda Raj, 41.
Mazidah Musa, 41, pula gembira dengan semangat muhibbah yang ditonjolkan, menerusi kehadiran pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan latar belakang.
Bagi pasangan suami isteri dari Rusia Anastasia, 34, dan Dmytro, 40, yang sudah tujuh tahun menetap di Pulau Pinang berkata majlis sedemikian sememangnya amat dinantikan, kerana dapat merasai pelbagai juadah makanan tempatan, selain menikmati persembahan yang disajikan. - BERNAMA